Ahad, 17 April 2011

7 Sumber pahala yang berterusan sehingga ke Syurga

Dari Anas RA berkata, tujuh perkara yang menyumbangkan pahala yang selepas mati :

1-Mereka yang membina masjid, tetap akan mendapat pahala selagi ada orang beribadat dalam masjid tersebut.
2-Mereka yang membina sistem
 pengairan, selagi ada manusia mengambil manfaat dari sistem pengairan tersebut.
3-Mereka yang menulis
 Al-Quran, selagi ada manusia membaca Al-Quran tersebut .
4-Mereka yang membina
 perigi atau tempat minuman, selagi ada manusia mengguna tempat tersebut.
5-Mereka yang
 bercucuk tanam, selagi ada manusia atau haiwan yang mengambil faedah daripadanya.
6-Mereka yang mengajar atau menyebarkan
 Ilmu berguna, selagi manusia beramal dengan ilmu yang disebarkan.
7-Mereka yang berjaya mendidik anak menjadi Insan
 Soleh, segala ibadat yang dilakukan anak yang soleh akan sampai pahala kepada kedua ibu bapanya.

Tanda–tanda jahiliah dalam diri

Hakikat ini ditandai dengan firman Allah swt. yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
Menurut riwayat, ayat itu diturunkan Allah sebab ada sekelompok sahabat yang mulanya beragama Yahudi telah meminta kepada Nabi Muhammad saw agar dibolehkan mereka merayakan atau memuliakan hari Sabtu dan menjalankan ajaran kitab Taurat.
Lantaran itu, turunlah ayat ini yang tidak membolehkan seseorang yang telah mengaku beriman tetapi masih berperilaku sebagaimana perilakunya pada masa jahiliah.
Rasulullah menyebutkan dalam satu hadis baginda yang diriwayatkan oleh Muslim, bermaksud: “Empat perkara pada umatku dari perkara jahiliah yang mereka tidak meninggalkannya, iaitu membanggakan darjat keturunan, mencela keturunan, meminta hujan dengan binatang dan meratapi mayat.”
Sesungguhnya, daripada pengertian hadis di atas, dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa daripada sekian banyak tanda, ada empat tanda muslim jahiliah yang disebutkan oleh Rasulullah. Hal ini memang harus kita fahami dengan baik agar model kehidupan jahiliah itu tidak kita jalani.
Sahabat baginda, Saidina Umar Ibn Khattab, pernah menyatakan: “Kalau engkau hendak menghindari jahiliah, kenalilah jahiliah itu.”

Membanggakan Keturunan

Kita harus ingat bahawa kemuliaan dan ketakwaan seseorang itu bukan diukur dengan keturunan secara automatik. Oleh sebab itu, kalau kita ingin membanggakan atau memuliakan seseorang, bukanlah kerana keturunannya tetapi kerana iman dan amal solehnya.
Namun, apa yang boleh kita lihat ini agak berbeza dan sebaliknya. Tidak sedikit orang yang terpilih menjadi pemimpin secara automatik dengan sebab keturunannya.
Contohnya, kalau ayahnya seorang raja, maka anaknya secara automatik akan menjadi raja juga meskipun anak berkenaan belum tentu mampu menjadi raja, bahkan sebenarnya ada orang lain yang lebih layak untuk menjadi raja.
Begitu juga kalau ayahnya seorang ketua dalam sesebuah organisasi. Anaknya juga akan menjadi pemimpin organisasi berkenaan setelah ayahnya meninggal dunia. Selalunya, ini semua disebabkan oleh status ayahnya dulu yang menimbulkan rasa segan dan ingin membalas jasa lalu terlantiklah anaknya sebagai pengganti.
Hal sebegini banyak berlaku dalam negara yang menggunakan sistem berkerajaan. Cara ini tidaklah menjadi satu kesalahan yang besar sekiranya anak itu memang berkemampuan menjadi seorang pemimpin setara dengan pimpinan yang telah ditunjukkan oleh ayahnya. Tetapi amatlah malang sekiranya pencalonan anak sebagai pemimpin lantaran ayahnya bekas seorang pemimpin.
Di samping itu, membanggakan keturunan dalam bentuk tidak menghukum orang keturunan ningrat atau yang berdarah mulia apabila mereka melakukan kesalahan, bahkan kesalahan itu cenderung pula ditutup.
Apabila orang biasa melakukan kesalahan, hukuman yang dijatuhkan kepadanya jauh lebih berat daripada kesalahan yang dilakukan oleh orang berdarah mulia tadi.
Ini adalah satu bentuk ketidakadilan yang sewajarnya dijauhkan. Tersebut dalam sebuah riwayat, ketika sahabat bertanyakan soal ini, Rasulullah menegaskan: “Seandainya anakku Fatimah mencuri, akan aku potong tangannya.”

Mencela keturunan

Harus kita akur bahawa kemuliaan seseorang itu harus kita ukur dengan tingkat ketakwaannya kepada Allah. Oleh yang demikian, seseorang muslim tidak dibenarkan mencela orang lain dengan sebab keturunan.
Misalnya, kalau bapa atau ibunya tidak baik, maka kita boleh menganggap anak-anaknya juga tidak baik, lalu kita mencelanya, dan begitu juga sebaliknya. Memang adakalanya bila orang tua tidak baik, anaknya juga ikut menjadi tidak baik, namun kita tidak boleh menganggap semuanya seperti itu. Ada juga yang ibu bapa amat tidak senonoh tetapi anak-anaknya pula bersopan dan amat baik.
Menurut cacatan sejarah, pada zaman jahiliah, mencela keturunan merupakan perkara yang biasa terjadi, bahkan seringkali permusuhan seseorang dengan orang lain akan berlanjutan turun-temurun kepada anak cucu.
Islam bawaan junjungan saw tidak membenarkan perlakuan mencela orang lain sedemikian rupa, apalagi atas alasan keturunan kerana boleh jadi yang dicela sebenarnya lebih baik daripada yang mencela.
Dalam soal ini, Allah berfirman, maksudnya: “Hai orang yang beriman, janganlah suatu kaum memburuk-burukkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diburuk-burukkan) itu lebih baik dari mereka (yang memburuk-burukkan) dan jangan pula wanita memburuk-burukkan wanita lain kerna boleh jadi wanita (yang diburuk-burukkan) lebih baik daripada wanita (yang memburuk-burukkan) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-laran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman, dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang yang zalim.”
Meminta diturunkan hujan melalui binatang

Nikmat anugerah Allah swt. dengan turunnya hujan yang cukup adalah dambaan manusia dalam kehidupan di atas dunia ini kerana dengan demikian, di samping akan terpenuhnya keperluan terhadap air yang memang sangat penting bagi manusia, juga dapat terpenuhnya bekalan air bagi aktiviti pertanian dan penternakan serta lingkungan hidup akan terasa lebih nyaman.
Kemarau yang panjang pula akan mengakibatkan semakin panas suhu udara dan mengurang atau mengeringkan sumber air bagi manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Lantaran itu, Islam mengajar umatnya supaya meminta hujan kepada Allah dengan cara melaksanakan solat istikharah.
Namun, dalam kehidupan masyarakat kita, terdapat budaya yang amat bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri, terutama dalam kaitan meminta hujan.
Di kampung-kampung terpencil, masih ada yang meminta hujan melalui binatang. Mereka akan menyiram kucing dengan air dan sebagainya. Dengan cara itu, mereka berpendapat hujan akan turun. Sesungguhnya, perbuatan semacam ini bukan hanya mengganggu binatang tetapi juga dapat merosakkan keyakinan yang bersih, sesuatu yang harus selalu dipelihara oleh setiap muslim agar keyakinannya tidak bercampur dengan kemusyrikan.
Lantaran itu, apabila ada seorang muslim meminta hujan dengan perantaraan binatang maka keyakinan dan perilakunya itu bermakna masih bersifat jahiliah.
Meratap dan meraung di hadapan mayat

Setiap yang bernyawa di dunia ini pasti akan mati apabila tiba ajalnya. Kematian adalah satu perkara yang biasa. Setiap dari kita pasti akan mencapai detik kematian, cepat atau lambat berserahlah kepada Yang Maha Mengetahui.
Sewaktu ada anggota keluarga kita, orang yang kita cintai atau tokoh masyarakat yang menjadi penaung kita dalam kebaikan meninggal dunia, kesedihan atas kematian mereka adalah sesuatu yang mungkin terjadi.
Bahkan, menurut sebuah riwayat, Saidina Umar Ibn Khattab ketika dikhabarkan bahawa Rasulullah wafat, berasa tidak percaya. Lantaran itu, dengan pedang terhunus di tangan, beliau lantang berkata: “Kalau ada sesiapa yang menyatakan Rasulullah saw sudah wafat, akan aku tebas batang lehernya.”.
Mendengar kenyataan itu, dengan segera Abu Bakar as-Sidiq menenangkan Saidina Umar dan menegaskan bahawa Rasulullah memang telah wafat.
Bersedih di atas kematian seseorang memang dibolehkan tetapi kesedihan yang berlebihan sehingga meratap dan meraung dengan memukul-mukul badan, kepala, muka, menarik-narik rambut dan mengucapkan kata-kata yang menggambarkan tidak adanya rasa yakin atau percaya kepada Allah adalah sesuatu yang tidak dibenarkan.
Ini kerana di dalam kitab hadis Riyadush Shalihin, Rasulullah menganggap orang seperti itu sebagai orang yang bukan umat baginda. Melalui sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, baginda bersabda yang bermaksud: “Bukan dari golonganku orang yang memukul-mukul pipi, merobek saku dan menjerit dengan suara kaum jahiliah.”
Meratapi sehingga meraung di hadapan mayat terjadi kerana seseorang itu tidak menerima kematian orang yang diratapinya itu. Seharusnya dia perlu akur bahawa kematian tidak mampu ditolak oleh sesiapa pun yang bergelar makhluk-Nya.
Apa yang seharusnya seseorang yang hidup lakukan ialah menjadikan kematian itu sebagai satu tazkirah, pedoman, peringatan, iktibar dan sebagainya supaya melebihkan amal ibadah yang baik kerana dia juga akan menyusul ke alam lahud suatu ketika nanti.
Akibat terlalu sedih, kita dapati ada sesetengah orang yang sanggup membangunkan tanah kuburan dengan pelbagai monumen dengan alasan lambang kasih sayang, cinta, rindu dan sebagainya meskipun terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.
Ada juga yang menganggap roh seseorang yang sudah mati itu sebagai keramat, wali Allah, lalu beberapa gelaran pun diwujudkan seperti Tok Serban Hijau, Syeikh Panglima Hitam, Tok Syeikh Serban Panjang Ke Tanah, Wali Allah Syeikh Haji Patani dan lain-lain lagi.
Mereka akan berdoa dengan meminta bantuan kepada orang yang sudah mati, meminta disihatkan daripada pelbagai penyakit, meminta dimurahkan rezeki, meminta air penawar, air penerang hati dan sebagainya.
Bahkan, ada juga kuburan ini ditutup dengan kelambu, dipasangkan kain langsir, dipagarkan dan disediakan air minum di atasnya. Ini semua tidak pernah dibenarkan di dalam Islam.
Apabila ada kaum muslimin melakukan hal seperti itu, bermakna dia masih melakukan amalan-amalan kejahiliahan yang amat menyimpang jauh daripada landasan agama Islam yang sebenarnya.
Sebagai seorang Islam, kita harus menjauhi dan meninggalkan segala amalan kehidupan yang tidak sejajar dengan nilai-nilai Islam.Lantaran itu, marilah kita membuang semua amalan sedemikian supaya kita tidak tergolong di dalam mempraktikkan tugas manusia jahiliah
.

GANGGUAN SYAITAN KETIKA SOLAT

Semoga ia beroleh manfaat dan sentiasa mempertingkatkan mutu ibadah kepada Allah Taala.
Antara gangguan itu adalah:


1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram
Saat membaca takbiratul ihram, ‘Allahu Akbar’, seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.
Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.
Ibnu Qayyim berkata, “Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat”. Was-was itu membuat mereka terseksa.


2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.
Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil ‘Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah.” Rasulullah menjawab, “Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.
“Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku” (Hadis Riwayat Muslim).


3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan
Abu Hurairah r.a berkata, “Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan
Abu Hurairah berkata, “Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.
Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.
Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,’Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!’ Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).


5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat
Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Tidak ada ketenangan atau thuma’ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.
Rasulullah bersabda kepadanya, “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma’ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.
Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma’ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


6) Melakukan gerakan yang tidak perlu
Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.
“Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah”. Orang itu bertanya, “Apa yang dilakukannya? “Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. “Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w,” kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).


7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat
Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, “Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat”. Rasulullah menjawab, “Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Menguap dan mengantuk
Rasulullah bersabda bermaksud: “Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah.” (Hadis Riwayat Thabrani).
Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, “Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata ‘ha…’ bererti syaitan tertawa dalam mulutnya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


9) Bersin berulang kali ketika solat
Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas’ud, “Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan.” (Riwayat Thabrani).
Ibnu Mas’ud berkata, “Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara.”


10) Terasa ingin buang angin atau buang air
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya” (Hadis Riwayat Muslim).
Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.
Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.