Isnin, 25 April 2011

HUKUM MENGGANTUNG GAMBAR HIASAN

Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu dari wajah baginda bahawa baginda tidak senang. Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk anda atau tempat anda bersandar." Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu." (Muslim)


Gambar-gambar merupakan salah satu perhiasan utama bagi kebanyakan tempat sama ada gambar fotografi atau gambar yang dilukis. Jika kita lihat di bangunan-bangunan awam, di hotel-hotel atau di rumah-rumah, gambar sebagai perhiasan pasti ada digantung-gantung di dinding-dinding. Apakah hukumnya mengantung perhiasan-perhiasan yang berupa lukisan ataupun gambar di dinding-dinding kediaman kita. Atau apakah pula hukum bagi pelukis lukisan tersebut.

Hukum mengenai lukisan ini, ulama memberikan hukum yang berbeza-beza berdasarkan kepada ciri-ciri yang terdapat pada sesuatu lukisan tersebut. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa gambar dan lukisan yang mempunyai roh sama ada manusia atau haiwan, berjisim atau tidak dan dihormati ataupun tidak dihormati. Manakala sebahagian ulama salaf pula menghukumkan haram hanya ke atas gambar yang timbul, berjisim serta mempunyai bayang-bayang yang disebut sebagai patung manakala gambar yang tidak berbayang adalah diharuskan. Sedangkan Dr Yusuf al-Qardawi pula menyatakan bahawa haram pada gambar yang dipahat atau diukir yang mempunyai jisim dan gambar yang mendatar yang dilukis di atas kertas dinding, kayu pula adalah makruh tanzih.

Yang jelasnya pengharaman ke atas sesuatu gambar itu berlaku sekiranya terdapat unsur-unsur berikut pada gambar tersebut iaitu:

1. Lukisan tersebut sama ada hidupan bernyawa atau tidak, sempurna atau tidak yang mengandungi unsur-unsur dan tujuan syirik seperti lukisan lembu sembahan masyarakat Hindu, lukisan bunga teratai, lukisan salib, nazi, zionis, yin dan yan, atau apa-apa yang berkaitan dengan sembahan agama lain hukumnya adalah haram.

2. Seterusnya lukisan lengkap terhadap sesuatu hidupan yang bernyawa yang cukup anggotanya seolah-olah bertujuan menandingi Allah dalam kuasa penciptaan makhluk maka hukumnya adalah haram seperti lukisan haiwan yang menonjol lukisannya, warnanya dan anggotanya sehinggakan hampir sama dengan haiwan yang sebenar.

3. Kemudian lukisan yang mengandungi unsur-unsur kehebatan dan kebesaran sama ada bernyawa atau tidak, sempurna atau pun tidak maka hukumnya juga adalah haram. Seperti gambar pembesar yang dibuat dengan niat utuk bermegah dengan pingat dan anugerah kebesarannya dan tambahan pula ianya dipamerkan dikhalayak ramai untuk tujuan kemegahan.

Manakala lukisan yang makruh pula adalah seperti berikut:

1. Lukisan yang berkaitan dengan hidupan tetapi bukan dalam keadaan yang sempurna seratus peratus dengan imej yang sebenar seperti lukisan kartun atau animasi.

2. Dan lukisan yang dilukis berkisar mengenai hidupan yang tidak bernyawa seperti pokok, sungai, batu, gunung, awan, padang, hutan-hutan dan lain-lain adalah diharuskan malah bagus untuk tujuan merehatkan minda sekiranya melihat kepada lukisan tersebut dan selagi mana ianya tidak melebihi daripada keperluan.

Mengenai masalah fotografi pula, ulama kontemporari kebanyakannya mengharuskan kerana ianya adalah salah satu peroses yang bukan seperti memahat atau melukis gambar yang bertujuan untuk menandingi kuasa ciptaan Allah. Syeikh Muhammad Bakhit berfatwa “bahawa fotografi itu adalah penahanan bayangan dengan menggunakan suata alat yang telah dikenal oleh ahli-ahli (tukstel). Cara seperti ini tidak ada larangan sedikitpun. Kerana larangan menggambar, iaitu mengadakan gambar yang sebelumnya tidak ada dan belum dibuat sebelumnya yang boleh menandingi (makhluk) ciptaan Allah. Sedangkan pengertian seperti ini tidak terdapat pada gambar yang diambil dengan menggunakan tukstel atau kamera”.

Malah Dr Yusuf al-Qardawi juga bersetuju dengan pendapat ini dan memasukkannya di dalam bukunya halal dan haram di dalam Islam. Pada perinsipya hukum berfotografi adalah harus tetapi perlu diingat selagi mana ianya tidak mengandungi unsur-unsur lain yang boleh menyebabkan perkara tersebut bertukar menjadi kepada perkara yang diharamkan. Seperti mengambil gambar seseorang tokoh lalu diagungkannya maka disini hukum fotografi tersebut berubah menjadi haram, begitu juga dengan gambar-gambar wanita atau lelaki yang berbogel atau separuh bogel, mendedahkan aurat mereka atau menampakkan sebahagian badan mereka yang boleh menyebabkan naiknya syahwat seperti yang banyak terjadi pada zaman sekarang yang mana ianya banyak dimuatkan pada majalah-majalah, surat khabar malah dipapan-papan iklan yang besar yang ditayang dan ditonton oleh khalayak umum yang sengaja dilakukan untuk menarik minat pembeli maka hukum fotografi seperti ini juga adalah diharamkan walaupun pada asalnya ia adalah harus.

Wallahua'lam...
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan